Contoh pembinaan hukum Kias

Sebagai contoh, dalil yang terdapat di dalam hadis mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat gandum. Jika di kawasan yang menggunakan padi pula, maka zakat padi diwajibkan kerana terdapat banyak persamaan atau ilat di antara padi dengan gandum selepas perbandingan atau kias dilakukan.

Hadis Rasulullah s.a.w

Hadis riwayat Ibnu Umar r.a. yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah pada setiap bulan Ramadan kepada umat Islam, iaitu sebanyak satu saa' (gantang) iaitu satu gantang kurma atau satu saa' (gantang) gandum. Kewajipan itu dikenakan kepada keseluruhan orang-orang Islam, merdeka ataupun hamba, lelaki ataupun wanita." (Nombor hadis dalam kitab Sahih Muslim: 1635)[2][3]

Contoh penggunaan kias:

  • Al-asal: Gandum dikenakan zakat gandum (al-asal).
  • Furuk: Bagaimana pula dengan tempat yang tidak ada gandum, misalnya yang ada padi? (tidak termaktub dalam Al-Quran dan hadis).
  • Hukum al-asal: Hukum zakat gandum itu wajib.
  • Ilat: Gandum adalah makanan ruji setempat, dan sama seperti padi.

Maka, dengan kias, zakat dikenakan pada padi dan adalah wajib.

Hukum berjual beli selepas azan solat Jumaat

Daripada Surah Al-Jumuah, ayat ke-9:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),"[4]

Contoh penggunaan kias:

  • Al-asal: Berjual beli setelah azan solat Jumaat berkumandang adalah tidak dibenarkan.
  • Al-furuk: Bagaimana pula dengan urusan lain seperti bercucuk tanam, akad nikah dan sebagainya?
  • Hukum al-asal: Hukum berjual beli adalah haram setelah azan Jumaat sehingga selesai solat Jumaat.
  • Ilat: Alasannya ialah berjual beli boleh kurangkan hajat jemaah untuk hadiri khutbah dan solat Jumaat.

Natijahnya, apabila azan (kedua) dilaungkan segala urusan diharamkan sehinggalah selesai solat Jumaat.

Hukum menggunakan dadah

Daripada Surah Al-Maidah, ayat 90:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya khamar, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."[5]

Contoh penggunaan kias:

  • Al-asal: Meminum arak dan apa-apa yang memabukkan, disebut dalam ayat sebagai khamar.
  • Al-furuk: Penggunaan dadah seperti ecstacy dan ice.
  • Hukum al-asal: Hukum meminum arak adalah haram.
  • Ilat: Kerana arak dan bahan pemabuk menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan elok. Sama seperti dadah.

Jadi, hukum dadah adalah haram kerana ia juga menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan elok.